KENYATAAN MEDIA

SITUASI TERKINI JANGKITAN COVID-19

DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

08 Safar 1443 / 15 September 2021

 

1.           Pada hari ini, Rabu, 08 Safar 1443H bersamaan dengan 15 September 2021, dengan kehendak Allah Subhanahu Wata’ala jua dan dengan rasa dukacita, Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai bahawa dua kes yang disahkan COVID-19 telah kembali ke rahmatullah.

 

2.           Kes pertama ialah seorang perempuan berumur 41 tahun yang merupakan Kes 2636 dan kes kedua ialah seorang lelaki berumur 77 tahun yang merupakan Kes 3389. Kedua-dua kes ini telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19 dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif, Pusat Pengasingan Kebangsaan kerana memerlukan bantuan mesin pernafasan.

 

3.           Sehubungan dengan ini, demi menjaga confidentiality dan menghormati privasi keluarga kes-kes ini, Kementerian Kesihatan tidak akan mengongsikan butiran peribadi kes. Orang ramai juga dipohonkan untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes-kes tersebut.

 

4.           Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga kes berkenaan.  Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para salehin. Al-Fatihah…

 

(Bacaan surah Al-Fatihah)

 

5.           Seterusnya, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa pada hari ini, 135 kes baru jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini yang membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 4,566 orang.

  • Pada hari ini, terdapat enam kluster baru telah dikesan yang membawa jumlah kluster aktif kepada 82 kluster. Kluster-kluster baru ini ialah:
    • Kluster 3278 yang mengandungi 4 kes baru;
    • Kluster 3892 yang mengandungi 1 kes baru;
    • Kluster 3859 yang mengandungi 1 kes baru;
    • Kluster 4157 yang mengandungi 4 kes baru;
    • Kluster 4401 yang mengandungi 9 kes baru; dan
    • Kluster 4490 yang mengandungi 4 kes baru.

Kesemua kluster-kluster baru ini juga mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenalpasti sumber jangkitannya.

  • Terdapat 15 tambahan kes-kes baru kepada 10 kluster aktif yang sedia ada. Kes-kes dalam kluster-kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kurantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.
  • Sementara itu, 97 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenalpasti sumber jangkitan.

 

  • Pengesanan kontak bagi semua kes-kes baru ini masih giat dijalankan. Semua kontak terdekat yang dikenalpasti akan diarahkan untuk menjalani kurantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

 

6.           Dalam pada itu, 132 kes telah disahkan sembuh pada hari ini. Jumlah ini termasuk 21 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing. Kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke 12 dan disahkan telah sembuh. Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 2,988 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,549 kes.

 

7.           Di kalangan kes-kes aktif tersebut, sembilan kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana lapan daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation). Manakala satu lagi kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO). Sementara itu, 33 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

 

8.           Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,525 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 286,871 ujian.

 

9.           Seterusnya, Kementerian Kesihatan sukacita memaklumkan kepada orang ramai bahawa pemberian dos pertama bagi Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan akan diteruskan semula pada hari Khamis 16 September 2021. Sehubungan dengan ini, seperti yang dimaklumkan pada sidang media yang lepas, tempahan slot suntikan bagi mereka yang terjejas oleh penangguhan sebelum ini akan diganjakkan secara automatik dan diberi keutamaan secara berperingkat-peringkat. Walau bagaimanapun, disebabkan slot vaksinasi yang terhad, orang ramai mungkin diberikan slot tempahan di pusat vaksinasi yang lain daripada yang dipilih sebelum ini. Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan untuk memeriksa perjanjian vaksinasi melalui aplikasi BruHealth atau pesanan ringkas SMS dari masa ke masa bagi memastikan tarikh tempahan perjanjian serta tempat pusat vaksinasi mereka.

 

10.       Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, Kementerian Kesihatan melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kes-kes jangkitan-jangkitan utama di negara ini di mana penganalisaan terhadap gelombang kedua wabak COVID-19 di negara ini telah antaralain mendapati, bahawa setakat 12 September 2021,

  1. Seramai 3,835 kes telah dilaporkan dikesan sejak gelombang kedua bermula pada 6 Ogos 2021 di mana 3,791 (98.9%) adalah kes penularan tempatan dengan 44 kes import.

     

  2. (Slide 1) Sementara itu, 27.9% daripada kes-kes tersebut adalah kanak-kanak dan remaja berumur 19 tahun ke bawah. Program Vaksinasi Kebangsaan sedang meneliti dan mempertimbangkan cadangan untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak yang mana jika dilaksanakan, Kementerian Kesihatan akan mendapatkan vaksin yang bersesuaian.
  3. (Slide 2) Tertera di skrin sekarang ialah graf yang menunjukkan epidemic curve bagi gelombang kedua ini, berdasarkan tarikh kes menjalani ujian swab. Graf ini menunjukkan, walaupun gelombang kedua tidak menunjukkan penurunan, akan tetapi ia adalah stabil dan tidak menunjukkan peningkatan. Graf ini juga menunjukkan doubling time iaitu jangkamasa bagi jumlah kes bertambah dua kali ganda ialah 20.1 hari, berbanding dengan 3 ke 4 hari semasa gelombang kedua mula-mula berlaku.

    Slide 2

  4. (Slide 3) Dapatan-dapatan ini adalah sejajar dengan graf yang tertera sekarang yang menunjukkan reproduction number bagi gelombang kedua ini yang mana basic reproduction number (R-naught) iaitu reproduction number semasa gelombang kedua mula-mula berlaku ialah pada tahap 5. Ini bermakna pada ketika itu, satu kes positif telah menyebabkan 5 kes baru. Pada ketika ini, effective reproduction number yakni R(t) iaitu reproduction number pada masa ini adalah di sekitar tahap 1 yang bermakna satu kes positif telah menyebabkan 1 kes baru. R(t) pada tahap 1 juga menandakan keadaan jangkitan yang stabil.
    Slide 3

  5. (Slide 4) Rajah yang tertera sekarang menunjukkan kebanyakan kes-kes yang terlibat dalam gelombang kedua setakat ini ialah mereka yang belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, manakala 8.4% daripada kes adalah mereka yang telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19. Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, mereka yang telah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 masih boleh dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2, akan tetapi pada kebiasaannya, jangkitan yang mereka hadapi adalah ringan iaitu samada hanya mengalami tanda-tanda jangkitan yang ringan atau tidak mengalami sebarang tanda-tanda jangkitan sama sekali.

    Slide 4

  6. Penganalisaan terhadap kes-kes yang terlibat dalam gelombang kedua ini juga mendapati keberkesanan vaksin atau vaccine effectiveness dalam mencegah jangkitan yang bergejala dan jangkitan tidak bergejala ialah 75.8% bagi mereka yang baru menerima satu dos vaksin dan 82.9% bagi mereka yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19. Dapatan ini menunjukkan walaupun berlaku breakthrough infections namun suntikan vaksin COVID-19 telah terbukti mencegah kebanyakan besar jangkitan COVID-19 di negara ini. Oleh yang demikian, sebagai usaha kitani semua dalam membendung wabak COVID-19, orang ramai adalah sangat digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 yang disediakan percuma oleh Kerajaan.

  1. 11. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth. Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada: askhal@moh.gov.bn.

 

– TAMAT 

 

Rujukan            : KK/PR/2

Tarikh               : 08 Safar 1443H / 15 September 2021



Source link