KENYATAAN MEDIA

SITUASI TERKINI JANGKITAN COVID-19

DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

29 Safar 1443 / 06 Oktober 2021

 

1.           Pada hari ini, Rabu, 29 Safar 1443H bersamaan dengan 06 Oktober 2021M, dengan kehendak Allah Subhanahu Wata’ala jua dan dengan rasa dukacita, Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai bahawa satu kes yang disahkan COVID-19 telah meninggal dunia.

 

2.           Kes tersebut ialah seorang perempuan berumur 71 tahun yang merupakan Kes 5299. Kes ini telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19 dan telah menerima rawatan di Unit Rawatan Intensif, Pusat Pengasingan Kebangsaan.

 

3.           Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan.  Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi pemergiannya.

 

(Moment of silence)

 

4.           Pada hari ini, sebanyak 106 kes baru jangkitan COVID-19 telah disahkan dan ini membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 8,150 orang.

  1. Terdapat 41 tambahan kes-kes baru kepada 10 kluster aktif yang sedia ada pada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.
  2. Sementara itu, terdapat 3 kluster baru telah dikesan sebagaimana yang tertera di skrin sekarang. Kesemua kluster baru ini adalah kluster rumah persendirian yang melibatkan 9 kes.
  3. Dalam pada itu, 1 kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan didalam kluster berkenaaan selama 28 hari. Kluster-kluster yang ditutup ialah Kluster Champion 7 – Posh Elegance. Oleh demikian, jumlah kluster yang aktif adalah 146 kluster.
  4. Selain itu, terdapat 2 kes import yang dicatatkan pada hari:
  • 1 kes telah tiba ke Negara Brunei Darussalam daripada Manila dengan menaiki Penerbangan DiRaja Brunei BI 684 pada 29 September 2021; dan
  • 1 kes telah tiba ke Negara Brunei Darussalam daripada Morocco melalui Malaysia dengan menaiki Penerbangan DiRaja Brunei BI 874 pada 22 September 2021.
  • Manakala, terdapat 54 kes baru yang masih dalam siasatan bagi mengenalpasti sumber jangkitan.

     

  • 5.           Dalam pada itu, 140 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 5,774 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,315 kes.

                                        

    6.           Di kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, lima kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif. Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO). Sementara itu, 36 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.

     

    7.           Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,700 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 382,821 ujian.

     

    8.           Pada 05 Oktober 2021, sebanyak 6,720 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19. Ini bermakna, di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, sebanyak 315,130 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 69.5% daripada jumlah penduduk negara. Manakala, 203,947 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 45.0% daripada jumlah penduduk negara.

     

    9.           Di kalangan warga emas pula, hanya 88.7% rakyat dan penduduk negara ini yang berumur 60 tahun ke atas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19. Ini bermakna lebih dari 5,000 orang warga emas masih belum mendapatkan vaksin. Data dari Pusat Pengasingan Kebangsaan mendapati kes-kes positif yang berumur 60 tahun ke atas adalah lima kali lebih mudah dikategorikan dalam Kategori 5 dan memerlukan bantuan mesin pernafasan. Vaksinasi terutamanya di kalangan warga emas adalah sangat penting bagi mencegah kesan COVID-19 yang teruk.

     

    10.       Sementara itu, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa pada masa ini, masih terdapat slot-slot kosong bagi esok, Khamis, 7 Oktober 2021. Terdapat 1400 slot di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup (Indoor Stadium) dan 560 slot bagi Pusat Vaksinasi Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong yang masih dibukakan untuk tempahan. Orang ramai yang ingin membuat tempahan vaksin adalah disyorkan untuk mengisikan slot-slot berkenaan melalui aplikasi BruHealth.

     

    11.       Hasil daripada pemantauan agensi-agensi penguatkuasaan yang dilakukan semalam semasa larangan keluar rumah daripada jam 8 malam hingga 4 pagi tadi, sebanyak 35 pelanggaran arahan tersebut di seluruh negara telah dikeluarkan denda kompaun. Orang ramai adalah diingatkan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan demi memulihkan semula keadaan negara dari jangkitan COVID-19.

     

    Sekian, terima kasih.

     

    – TAMAT 



    Rujukan            : KK/PR/2

    Tarikh               : 29 Safar 1443H / 06 Oktober 2021



    Source link