KENYATAAN MEDIA
SITUASI TERKINI JANGKITAN COVID-19
DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
19 Safar 1443 / 26 September 2021
1. Pada hari ini, Ahad, 19 Safar 1443H bersamaan dengan 26 September 2021, sebanyak 254 kes baru jangkitan COVID-19 telah disahkan dan ini membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 6,540 orang.
- Terdapat 111 tambahan kes-kes baru kepada 15 kluster aktif yang sedia ada pada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.
- Sementara itu, terdapat tiga kluster baru telah dikesan yang membawa kepada jumlah kluster aktif kepada 106 kluster. Kluster-kluster ini ialah:
- Kluster Permata Leo Vessel yang mengandungi 10 kes;
- Kluster Salvin Princess Vessel yang mengandungi 6 kes;
- Manakala 6 kes telah dikesan setakat ini berikutan operasi mass swabbing yang dijalankan di kawasan Kampong Pengkalan Gadong pada 22 hingga 25 September 2021.
2. Dalam pada itu, 138 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 4,326 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,170 kes.
3. Di kalangan kes-kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, lapan kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif. Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO). Sementara itu, 34 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.
4. Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,508 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 335,986 ujian.
5. Seterusnya, untuk memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai keberadaan kes-kes positif yang dikesan di negara ini, Kementerian Kesihatan ingin mengongsikan sedikit hasil penelitian yang telah dijalankan. Sebagaimana yang tertera pada skrin sekarang, terdapat tiga buah mukim yang mempunyai kes positif melebihi 80 kes positif dalam masa 7 hari kebelakangan. Dua daripada mukim-mukim ini terletak di Daerah Brunei dan Muara iaitu Mukim Gadong ‘A’ dan Mukim Berakas ‘A’. Manakala satu mukim di Daerah Belait iaitu Mukim Kuala Belait.
6. Sementara itu, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa proses mengganjakkan tempahan slot suntikan bagi mereka yang terjejas oleh penangguhan pemberian vaksin dos pertama COVID-19 pada awal bulan September lalu telah selesai dilaksanakan. Dalam perkara ini, Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup telah melaporkan bahawa di antara 19 sehingga 25 September 2021, sebanyak 2,790 slot tempahan yang diganjakkan telah gagal menghadirkan diri. Orang ramai adalah diingatkan sekali lagi untuk memeriksa perjanjian vaksinasi melalui aplikasi BruHealth atau pesanan ringkas SMS dari masa ke masa bagi memastikan tarikh tempahan perjanjian serta tempat pusat vaksinasi mereka kerana semasa proses mengganjakkan tempahan slot dilakukan, beberapa perubahan terpaksa dilaksanakan seperti memindahkan lokasi vaksinasi ke pusat vaksinasi yang lain. Mereka yang tidak dapat hadir pada tarikh tempahan kerana menjalani kuarantin atau telah membuat tempahan lain adalah dinasihatkan untuk membatalkan tempahan yang diberikan ini bagi memberikan peluang kepada orang lain yang boleh memanfaatkan slot-slot berkenaan. Orang ramai adalah juga dinasihatkan untuk mengemaskini maklumat peribadi termasuk nombor telefon di dalam sistem BruHIMS bagi memastikan mesej mengenai tempahan slot dapat diterima.
7. Sebagai langkah tambahan dalam membendung penularan wabak COVID-19, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Mahkamah Syariah ingin memaklumkan kepada orang ramai khususnya bagi pasangan yang akan melangsungkan akad nikah bahawa bermula pada hari Isnin, 27 September 2021, pelaksanaan akad nikah di rumah persendirian adalah tidak lagi dibenarkan. Kebenaran pelaksanaan akad nikah hanya dibenarkan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan, Perceraian, Pembatalan dan Ruju’ Orang-Orang Islam di setiap daerah di mana kebenaran berkahwin dikeluarkan. Bakal-bakal pengantin dan keluarga masing-masing adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada Kenyataan Akhbar Mahkamah Syariah mengenai perkara ini.
8. Orang ramai adalah diingatkan untuk mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan bagi mengawal penularan wabak COVID-19. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak keluar rumah tanpa tujuan yang penting dan jika perlu keluar rumah untuk tidak pergi ke tempat-tempat sesak serta mengamalkan penjarakan sosial. Di samping itu juga untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah keselamatan diri seperti memakai sungkup muka, membersihkan tangan dan etika bersin dan batuk yang betul.
9. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua pihak yang terlibat, samada di kalangan petugas barisan hadapan, petugas-petugas dari Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi berkenaan, para pesakit, kontak-kontak terdekat, ahli-ahli keluarga pesakit, para sukarelawan dan orang ramai untuk terus berganding bahu dan memberikan kerjasama dalam usaha Kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini. Alhamdulillah, setakat ini banyak usaha, sokongan dan penglibatan padu daripada segenap lapisan masyarakat, termasuk agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan dalam melaksanakan segala langkah-langkah pengawalan telah dapat dicapai. Dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, sikap hormat menghormati harus wujud untuk membolehkan setiap orang memainkan peranannya. Dengan keadaan situasi pada masa sekarang, mungkin akan wujud kebimbangan hingga menyebabkan timbulnya rasa cemas di kalangan masyarakat. Oleh itu, kita harus menghindari penyebaran maklumat-maklumat yang belum disahkan. Di samping itu, elakkan juga dari membuat dan menyebarkan sebarang rakaman samada video atau audio tanpa kebenaran dari pihak-pihak yang terlibat; hormati privasi kes, keluarga kes dan petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas. Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam berhadapan dengan COVID-19. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Sekian, terima kasih.
– TAMAT –
Rujukan : KK/PR/2
Tarikh : 19 Safar 1443H / 26 September 2021